|
Kiriman: Admin pada Khamis, 15 Febuari, 2007 - 06:21 AM
INSAN CEMERLANG UMMAH GEMILANG” inilah tema sambutan maal hijrah tahun ini 1428H. Mengambil keberkatan tarikh 1 Muharram yang lalu, Unit R&D Pekida Malaysia dan Unit Pemadam Cawangan Sg Ramal Baru telah mengadakan forum Maal Hijrah sempena Majlis Perasmian penubuhannya dengan jayanya. Forum tersebut telah dipengerusikan oleh Ustaz Zahari Bin Isman, Bekas Pensyarah Pengajian Islam UNITAR, dan dibantu oleh dua anggota Panel iaitu Ustaz Hj Mat Razi Bin Mat Ali, Penolong Pengarah JAKIM dan Dr Hj Masjuki Hj Mohd Musuri Pengarah Unit R&D, Latihan dan Perhubungan Awam Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia.
Forum yang di adakan pada jam 10.30 pagi hingga jam 12.30 pagi itu di hadiri oleh anggota–anggota dan keluarga unit R&D Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia Wilayah Persekutuan dan Unit Pemadam Cawangan Sg Ramal Baru.
Sewaktu pembukaan forum, Ustaz Zahari Bin Isman membacakan sepotong ayat al-Qur’an dari surah At-taubah ayat 20 dengan menyeru umat Islam benar-benar melaksanakan jihad yang sihat dengan usaha pembangunan masyarakat melalui kombinasi Kerjasama diri dan sumbangan dana untuk pembangunan ekonomi. Beliau turut menegaskan agar umat tidak hanya bercakap dan berjuang secara retorik sahaja tanpa melakukan sesuatu apa pun pembangunan fizikal dan mental.
Dalam ceramahnya Ustaz Haji Mat Radzi dari JAKIM menyeru agar umat Islam di Malaysia mendokong pendekatan Islam Hadhari yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan telah mula menjadi tumpuan dan diterima pakai oleh negara Islam sedunia. Beliau yang turut membacakan 10 prinsip-prinsip Islam Hadhari kepada hadirin kelihatan amat berpuashati dengan sambutan hangat dari para hadirin.
Sementara itu, Dr Hj Masjuki menambah seruan dengan tegas dan jelas agar umat Islam tidak lagi merasa was-was untuk menyokong usaha kerajaan membangun masyarakat melalui pendekatan Islam Hadhari. Menurut beliau, sesiapa yang menolak atau menidakkan usaha YAB Perdana Menteri untuk menjayakan Islam Hadhari adalah orang yang jahil dan tidak peka terhadap kejatuhan Islam masa kini.
Dr Hj Masjuki menyatakan bahawa Islam Hadhari adalah Islam sebenar yang telah hilang dan perlu dihadhirkan semula. Sebagai contoh Umat Islam telah berpecah belah, bermula dari peringkat keluarga, kampung, negeri dan seluruh dunia. Umat Islam adalah juara kepada keruntuhan akhlak di Malaysia seperti dadah, lepak, judi, rempit, sumbang mahram dan sebagainya. Umat Islam juga jahil tentang agamanya sendiri, tidak bersungguh-sungguh membaca dan memahami kitab suci agamanya sendiri, hidup beragama dalam keadaan ikut-ikut semata-mata. Akhirnya mereka mudah terpesong dan dipesongkan, termasuk gejala keluar agama yang agak serius melanda umat Islam masa kini.
Dalam mengulas kenyataan Ustaz Hj Mat Razi Bin Mat Ali dari JAKIM yang mengatakan umat Islam kini mengamalkan sikap hasad dengki dan tidak suka membudayakan Ilmu, hanya membaca purata 2 buat buku saja setahun dan kebanyakkannya merupakan majalah hiburan, Dr Hj Masjuki mengajak umat Islam berfikiran global dan tidak menyempitkan fikiran hanya di sekitar kampung sendiri saja. Beliau turut sedih dengan perpecahan ummat yang sangat serius masa kini. Beliau turut menyeru agar umat Islam hidup berbaik-baik dengan masyarakat bukan Islam.
Dr Masjuki yakin jika semua Umat Islam berjaya menampilkan sahsiah dan akhlak Islam sebenar, akan ramai masyarakat bukan Islam akan tertarik kepada Islam dan mungkin akan memeluk Islam tanpa paksaan. Beliau turut menyelar sebilangan Umat Islam yang suka memusuhi masyarakat bukan Islam dan memetik contoh sunnah Rasulullah yang tidak lansung memusuhi orang-orang yang tidak mengikuti ajakkannya, termasuk duduk serumah dan bapa saudaranya Abu Talib sehingga bapa saudaranya wafat.
Beliau amat yakin Islam Hadhari mampu membawa Malaysia di persada dunia sebagai negara Islam contoh yang menyediakan sistem perhubungan sesama insan dan perundangan negara yang adil dan rakyat berbilang kaum hidup saksama. Tidak mustahil sama sekali jika satu hari nanti bukan saja penganut Budha dan Hindu akan berminat terhadap Islam, malah penganut Kristian dan Yahudi turut memeluk Islam jika Umat Islam berjaya membawa sistem kehidupan Islam secara menyeluruh.
Ditulis oleh :
HAJI AMIR BIN ANUAR
PENGERUSI BIRO DAKWAH, PENERANGAN DAN PERHUBUNGAN AWAM
K/P NO: 650114-10-7151
TEL : 019-3526328, PEJ: 03-87369645
RUJUKAN :
DR. HJ MASJUKI BIN MOHD MUSURI
PENGARAH UNIT R&D, LATIHAN DAN PERHUBUNGAN AWAM, PEKIDA MALAYSIA
KP NO: 620812-01-6057
TEL : 019-6230363, 013-2299930
|
|
| Forum Maal Hijrah anjuran Pekida, Pemadam dan JAKIM mengajak rakyat membudayakan ilmu dan mendokong Islam Hadhari | Masuk/Daftar baru | 0 Komentar |
|
| | Semua komentar adalah menjadi tanggungjawab pengirim. |
|
|